"Mari terus berjuang".

Itu adalah mesej yang disampaikan Paul Pogba selepas kemarau kemenangan Manchester United terus berlanjutan susulan keputusan seri tanpa jaringan ketika berdepan Valencia dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.


Perlawanan pagi tadi menyaksikan United mempamerkan satu lagi aksi longlai sehingga menyebabkan mereka sekadar seri 0-0 ketika melayan kunjungan Valencia di Old Trafford.

Sejak mengutip kemenangan 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Liga Juara-Juara ke atas Young Boys, United gagal mencatat sebarang aksi positif selepas ditundukkan oleh Derby County dan West Ham serta diikat oleh Wolverhampton Wanderers dan Valencia sehingga meningkatkan tekanan yang dihadapi pengendali, Jose Mourinho.

Keputusan itu juga mencipta satu rekod baru buat Mourinho apabila buat kali pertama dalam karier kejurulatihannya, dia gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan di laman sendiri.

Bintang United, Pogba, yang kini hangat dilaporkan bertelagah dengan Mourinho menggunakan media sosial sebagai medium untuk meniupkan semangat buat pasukannya dengan menulis: "Mari terus berjuang United #MUFC."

Ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga ketika ini, United akan melayan kunjungan Newcastle United pada Sabtu ini dalam misi mesti menang.