Pengendali Brazil, Tite, mengesahkan Marcelo kini telah kembali untuk mendapatkan semula tempatnya dalam kesebelasan utama menjelang pertemuan suku akhir berdepan Belgium awal pagi esok selepas mengalami kecederaan belakang sebelum ini.

Pertahanan Real Madrid itu hanya bertahan selama 10 minit sewaktu Selecao menundukkan Serbia 2-0 dalam saingan peringkat kumpulan sebelum terpaksa keluar akibat masalah otot dan digantikan Filipe Luis.

Dia tersisih sewaktu Brazil mengatasi Mexico 2-0 dalam pusingan kedua dan Luis ternyata ampuh di benteng pasukan walaupun Hirving Lozano dilihat kerap memberikannya masalah.

Tite tidak pasti bila waktu sebenar Marcelo akan kembali dalam kesebelasan utama tetapi dia dilihat bersedia untuk pertemuan di Kazan.

"Filipe Luis beraksi cemerlang dalam dua perlawanan dan Marcelo kini telah kembali," ujar Tite.

Seorang lagi pemain yang tampak masih belum cukup untuk memikat hati Tite bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama adalah penyerang, Roberto Firmino.

Bintang Liverpool itu menjaringkan gol kedua Brazil ketika berdepan Mexico selepas masuk menggantikan Gabriel Jesus.

"Corak permainan diatur berdasarkan perlawanan.

"Kemampuan serba boleh dalam sesuatu peranan dimiliki oleh Jesus dan kami cuba menyesuaikan untuknya. Semua pemain yang masuk selaku pemain gantian tampak berkesan.

"Saya melakukan pengakuan selepas aksi berdepan Serbia. Kebiasaannya saya akan memeluk semua pemain, tidak bercakap banyak kerana bilik persalinan bukan tempat yang sesuai.

"Namun, saya memeluk Firmino dan memberitahunya bahawa dia layak meraih jaringan tersebut selepas masuk sebagai pemain gantian sebanyak dua kali dan dia juga tampak gembira.

"Setiap pengurus harus tahu kehendak pasukan," katanya.