Mandzukic, Tomori akan bantu Milan buru Scudetto

Oleh Muzaffar Musa 19 Januari 2021 1292
Mandzukic, Tomori akan bantu Milan buru Scudetto
Zlatan Ibrahimovic percaya Mario Mandzukic akan terus "menakutkan" lawan sambil pertahanan Chelsea, Fikayo Tomori, akan turut menyertai pendahulu Serie A, AC Milan.

Ibrahimovic kembali meletakkan skuad Rossoneri itu berkelebihan tiga mata di atas seteru tradisi, Inter Milan, dengan menjaringkan kedua-dua gol ketika menewaskan Cagliari 2-0 awal pagi tadi.

Dan Milan masih belum mahu berhenti dalam memperkuatkan pasukan utama mereka apabila penyerang veteran itu mengesahkan bahawa pasukannya sudah mencapai kesepakatan untuk membawa masuk bekas penyerang Bayern Munich dan  Juventus, Mandzukic, secara perpindahan percuma yang sudah dipersetujui.

"Mario Mandzukic sudah menandatangani kontrak, dia akan menyertai AC Milan," kata Ibrahimovic kepada Sky Sport Italia.

"Saya gembira kerana kami kini mempunyai dua pemain yang akan menakutkan pihak lawan."
 
Sementara itu, pertahanan berusia 23 tahun Chelsea, Tomori, akan ke San Siro secara pinjaman bagi mendapatkan lebih peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

"Kami mahukan Fikayo Tomori pada musim panas lalu, dia sentiasa berada dalam senarai empat pemain sasaran kami," kata Pengarah Teknikal Milan, Paolo Maldini.

"Dia amat sempurna untuk skuad kami. Kami sedang melakukan perincian terakhir."

Ibrahimovic turut menyebut nama Maldini selepas perlawanan itu dengan berkata pembaharuan kontrak barunya akan bergantung kepada bekas rakan sepasukannya itu.
 
Pemain berusia 39 tahun berkenaan sekali lagi mempamerkan aksi gemilang dalam penampilan liga pertamanya sebagai kesebelasan utama sejak penghujung November lalu.

Dia kini telah merekodkan 12 gol daripada lapan penampilan Serie A musim ini.

"Pemain muda memotivasikan saya, mereka mencabar saya untuk melihat siapa boleh beraksi lebih baik. Saya tidak mengaku kalah dan membuktikan saya boleh beraksi seperti mereka.

"Kami melakukannya dengan baik, kami sudah menghampiri separuh musim.

"Kini perlawanan-perlawanan paling sukar sudah bermula. Ia akan menjadi jadual yang amat padat tetapi dengan Madzukic, (pemain baru, Soualiho) Meite, saya tidak tahu jika ada pemain baru lain yang akan tiba... lebih banyak pemain yang boleh dipilih jurulatih, mereka akan membantu kami," katanya.

Ditanya sama ada dia percaya Milan mampu menamatkan penguasaan panjang Juventus di Itali, Ibrahimovic menjawab: "Saya percaya diri saya, percaya kepada Zlatan."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen