Pengendali Itali, Roberto Mancini, menegaskan pasukannya tidak berdepan masalah di bahagian serangan menjelang perlawanan berdepan Ukraine dan Poland.

Itali memanggil Kevin Lasagna untuk menggantikan Simone Zaza walaupun penyerang Udinese itu hanya menyumbat satu gol dalam Serie A musim ini sambil pemain yang belum pernah menyarung jersi Itali, Gianluca Caprari, turut disenaraikan.

Skuad Azzurri bakal turun tanpa kelibat pemain Torino, Andrea Belotti, dan penggempur Nice, Mario Balotelli, selepas diketepikan oleh Mancini akibat masalah prestasi tatkala peledak Toronto, Sebastian Giovinco, kembali dipanggil selepas tiga tahun.

Bagaimanapun, ketika bercakap di depan media menjelang aksi persahabatan bertemu Ukraine, awal pagi esok, Mancini lebih selesa untuk mengetengahkan perkembangan beberapa pemainnya seperti Lorenzo Insigne dan Federico Bernardeschi.

"Tiada masalah di bahagian serangan. Kami harus memanggil lebih ramai pemain," ujar Mancini.

"Lasagna daripada Udinese akan tiba malam ini dan kami sudah memanggil beberapa penyerang.

"Liga sentiasa memberikan kami sesuatu. Insigne telah berubah dalam beberapa perlawanan dan terus menjadi tonggak penting dan Bernardeschi terus berkembang.

"Hari ini, saya rasa pemain lebih baik. Maaf saya kehilangan empat hingga lima pemain akibat kecederaan."

Menjelang aksi di Genoa, Mancini dan anak buahnya melawat ke tapak Jambatan Morandi yang runtuh di bandar itu, memberikan penghormatan buat 43 individu yang terkorban pada 14 Ogos lalu.

"Apabila anda sampai ke sana, ia sesuatu yang teruk. Anda boleh melihatnya melalui televisyen tetapi ia tidak begitu indah.

"Jika anda ke sana, anda akan melihat bahagian jambatan yang hilang dan memikirkan apa yang berlaku. Genoa adalah sebahagian daripada hidup, ia sesuatu yang teruk.

"Terdapat anak-anak kecil yang kehilangan ibu-bapa dan saya rasa ia satu tragedi yang besar.

"Dalam masa sama, menghadirkan kemenangan dapat membuatkan warga Genoa gembira dan saya berharap seluruh pasukan akan meraih perlawanan yang bagus."

Danilo D'Ambrosio, Alessio Romagnoli dan Patrick Cutrone turut dinamakan dalam skuad awal sebelum diketepikan manakala Zaza tersingkir akibat kecederaan.