Mancini janji perubahan selepas gagal menang kali ke-12

Oleh Muzaffar Musa 5 September 2020 418
Mancini janji perubahan selepas gagal menang kali ke-12
Roberto Mancini menjanjikan perubahan dalam barisan pemain Itali menjelang pertemuan dengan Belanda dalam Liga Negara-Negara Eropah selepas terikat 1-1 dengan Bosnia Herzegovina di Firenze awal pagi tadi.

Skuad kendalian Mancini itu memenangi kesemua 11 perlawanan terakhir -- satu rekod baru buat skuad Azzurri itu -- tetapi ketinggalan dalam aksi di Stadio Artemio Franchi itu apabila penyerang AS Roma, Edin Dzeko, memberikan kelebihan buat pelawat dalam babak kedua.

Pemain tengah Inter Milan, Stefano Sensi, menyamakan kedudukan menerusi satu percubaan yang terbias untuk Itali membawa pulang satu mata selepas dilihat bergelut untuk mecahkan keampuhan pertahanan Bosnia-Herzegovina.

Penyerang Torino, Andrea Belotti, bermula sebagai kesebelasan utama sebelum digantikan dengan penyerang sensasi Lazio, Ciro Immobile, dan Mancini menjelaskan perubahan di posisi itu merupakan sesuatu yang sudah dirancang.

"Keputusan seri itu tidak mengubah perancangan kami," kata Mancini kepada Rai Sport.

"Perancangan permainan kami tidak akan berubah ketika berdepan Belanda tetapi kami akan mengubah pilihan pemain.

"(Giorgio) Chiellini tidak beraksi kerana kami gusar dia akan cedera.

"Amat mengecewakan apabila tidak menang. Keletihan menjadi punca tetapi pemain kami sudah bermain dengan baik," katanya.
 
Sensi, yang kali terakhir menjaringkan gol ketika negaranya menewaskan Liechtenstein 6-0 pada Mac 2019, mengakui keputusan itu tidak menepati jangkaan buat Itali.

Skuad Azzurri itu hanya memenangi satu perlawanan dalam Liga Negara-Negara 2018 dan perlu memperbaiki prestasi ketika berdepan Belanda, Isnin ini seandainya mahu meraih kemenangan pertama dalam edisi kali ini.

"Saya gembira kerana menjaringkan gol tetapi agak kecewa dengan keputusan ini," kata Sensi.

"Kembali beraksi selepas 10 bulan bukanlah sesuatu yang mudah.

"Amat sukar untuk mencari ruang. Kami perlu lebih pantas ketika mengejar bola," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen