Malaysia tumbangkan Gajah Perang di Bukit Jalil

Oleh Staff Writer 14 November 2019 5283
Malaysia tumbangkan Gajah Perang di Bukit Jalil
MALAYSIA 2 THAILAND 1

Malaysia menghidupkan peluang dalam saingan Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia apabila menumbangkan pendahulu, Thailand, 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.


Gol daripada Brendan Gan dan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, memadamkan jaringan pembukaan bintang tengah Thailand, Chanathip Songkrasin.

Jika menilai sumbangan setiap pemain negara dalam perlawanan kali ini, Brendan merupakan susuk yang paling berjasa dengan dia bukan sahaja menjaring dan mencetuskan jaringan, malah turut bertindak cemerlang dalam menyelamatkan gawang yang dikawal Khairulazhan Khalid.

Sepertimana cuaca lembab akibat hujan di Stadium Nasional, begitu jugalah permulaan perlahan yang dipamerkan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Selepas Safawi Rasid mensia-siakan peluang di depan gawang lawan, pemain tengah Thailand, Ekanit Panya, memanfaatkan kealpaan Syamer Kutty Abba, untuk bergandingan dengan Tristan Do sebelum melakukan hantaran yang disudahkan Chanathip pada minit keenam.

Bagaimanapun, penguasaan yang diharapkan skuad Gajah Perang itu tidak bertahan lama apabila Syamer menebus kesilapannya untuk menerima lorongan Corbin Ong sebelum melakukan hantaran 'cutback' yang disudahkan Brendan pada minit ke-27.

Skuad negara bermula dengan lebih kemas dalam separuh masa kedua.

Thailand, yang membelakangi Ultras Malaya dalam babak berkenaan, mula berasa goyah dengan sorakan padu "ekor" Harimau Malaya itu.

Corbin terlebih dahulu menguji penjaga gol veteran, Siwarak Tedsungnoen, dengan tandukannya yang sedikit melepasi palang gol daripada sepakan penjuru Safawi.

Menerusi hantaran rendah Safawi dari sebelah kanan, Brendan kemudian melakukan sungkitan gemilang -- persis yang sering dilakukan legenda Jerman, Michael Ballack -- untuk disudahkan Sumareh dengan separa voli kencang pada minit ke-57.

Usaha Thailand untuk menyamakan kedudukan seakan-akan tidak berpenghujung apabila skuad kendalian Akira Nishino itu buntu untuk membocori benteng negara yang diketuai kapten, Aidil Zafuan Abdul Radzak, sambil Brendan tidak henti-henti menjadi penghubung di antara jentera pertahanan dan serangan.

Skuad Gajah Perang itu hampir menamatkan pencarian mereka pada 10 minit terakhir, mujur Khairulazhan bertindak tangkas untuk menepis percubaan jarak jauh Supachok Sarachat.

Brendan hampir memperoleh jaringan peribadi kedua pada penghujung permainan, namun sepakannya sedikit melepasi penjuru bawah gawang lawan.

Dengan keputusan itu, Thailand tergelincir ke tangga kedua dengan tujuh mata ---  berkelebihan satu mata di depan Malaysia di tangga keempat -- manakala Vietnam muncul pendahulu baru dengan 10 mata selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 dalam satu lagi perlawanan di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

"Tiada perkataan yang boleh saya sebutkan. 

"Sikap tidak berputus asa dan itulah pujian yang harus diberikan kepada pemain-pemain yang bermain bermati-matian. 

"Kami juga terpaksa membayar dengan harga mahal apabila Syafiq Ahmad dan Matthew Davies tidak dapat bermain (dalam perlawanan menentang Indonesia, Selasa depan) sementara kecederaan Syahmi Safari perlu dilihat dengan lebih lanjut. 

"Tetapi kami masih perlu tingkatkan persembahan dan bersedia bertemu Indonesia," kata Cheng Hoe selepas perlawanan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen