Pasukan bawah 22 tahun negara terpaksa berpuas hati berkongsi penghormatan apabila aksi persahabatan menentang skuad muda Filipina berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Memorial Rizal, Manila, malam ini.

Jurulatih Malaysia, Frank Bernhardt, sekurang-kurangnya membuat tiga pertukaran dalam separuh masa kedua, bagaimanapun, ia gagal meleraikan kebuntuan gol.

Syamer Kutty Abba masuk mengganti Jafri Firdaus Chew, Zulkhairi Zulkeply menggantikan Syahmi Safari dan lapan minit sebelum tamat, Bernhardt membuat pertukaran terakhir dengan mengeluarkan Syazwan Zaipol untuk digantikan Dominic Tan.

Ini pertemuan kali kedua tahun ini selepas Malaysia menewaskan skuad itu 4-1 di Paroi, Mac lalu.

Perlawanan menentang Filipina diadakan susulan pembatalan dua aksi persahabatan dengan Myanmar bagi menutup musim 2016.

Skuad bawah 22 tahun negara kini dalam persiapan untuk menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur, Ogos tahun depan.