"Saya mahu kembali seperti dahulu," jelas penyerang import baru Pulau Pinang, Ndumba Makeche, selepas melalui detik kekecewaan dengan dua pasukan terakhir diwakilinya, iaitu Sarawak dan Perlis.

Makeche cukup dikenali ketika beraksi bersama Felda United di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim pada tahun 2014 dan 2015 serta meledak 16 gol dalam 26 penampilan.

Namun, dia gagal mencipta impak yang sama ketika bersama Sarawak dan Perlis selepas itu, malah sehingga kini tunggakan gajinya belum dijelaskan.

Tidak pernah berputus asa dalam kariernya, Makeche lega akhirnya dia masih berpeluang membuktikan sesuatu dalam saingan Liga Malaysia.

"Saya amat menikmatinya. Saya bertuah kerana pernah menerima tunjuk ajar Irfan Bakti. Beliau membentuk dan melatih saya bagaimana untuk beraksi di Malaysia kerana sebagai pemain, kami perlu segera menyesuaikan diri.

"Mungkin salah satu daripada dua musim terbaik saya di sini. Kadangkala dalam kerjaya kita mengharungi musim terbaik dan buruk," katanya.

Selain Makeche, seorang lagi import yang telah ditandatangani Pulau Pinang ialah penyerang dari Argentina, Julian Bottaro.

Menurut pemain kerakyatan Australia itu, dia mahu peminat setia skuad Harimau Kumbang bersikap realistik terhadap kemampuan Pulau Pinang menghadapi musim 2019.

"Secara realistik, Pulau Pinang sedang dalam peringkat perubahan. Mereka baru beralih presiden dan membawa masuk pemain lain.

"Sasaran utama adalah lima terbaik manakala selebihnya adalah bonus kerana kami perlu realistik. Sudah pasti kami mahu memenangi liga tetapi dengan perubahan yang begitu ketara, kami meletakkan sasaran lima terbaik," ujarnya.