SEVILLA 2 MANCHESTER UNITED

Harry Maguire berkata "pasukan terbaik tumpas" selepas Manchester United disingkirkan Sevilla di peringkat separuh akhir Liga Europa awal pagi tadi.


Luuk de Jong, yang gagal menyinar bersama Newcastle United dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) enam tahun yang lalu, membuktikan bahawa dia tahu bagaimana untuk menjaringkan gol apabila menghadiahkan kemenangan 2-1 buat kelab Sepanyol itu di Cologne.

Sepakan penalti awal oleh Bruno Fernandes dipadamkan dengan gol penyamaan daripada Suso manakala dan percubaan De Jong membuahkan hasil pada minit ke-78 selepas United gagal menyempurnakan deretan peluang.

"Ini sukar ditelan. Perasaan kami cukup remuk," kata ketua pasukan itu kepada BT Sport selepas muncul dari bilik persalinan United.

"Kami mencipta banyak peluang dan kami sepatutnya memenangi perlawanan ini. Pasukan terbaik telah tewas dan mereka telah menghukum kami akibat terlepas peluang terhidang.

"Penyudah kami selalunya tajam tahun ini tetapi tidak pada malam ini."



Maguire menuntut peningkatan The Red Devils dan menganggap adalah tidak cukup bagus kerana dibolosi daripada hantaran silang.

"Kami berhempas pulas dan seharusnya layak, tetapi kami terkandas di separuh akhir buat kali ketiga tahun ini, jadi ia sangat mengecewakan," kata Maguire.

"Kami mempunyai kumpulan pemain muda yang bagus dan tahu apa ertinya mewakili kelab ini. Kalah dalam separuh akhir sesuatu yang tidak boleh diterima."

Gandingannya di pertahanan tengah, Victor Lindelof, bersalah dalam jaringan kemenangan itu, sekali gus memusnahkan harapan United untuk mengakhiri musim ini dengan gelaran.

Juara 2017 itu menampilkan prestasi ampuh tetapi penyudah tumpul manakala satu kesilapan meranapkan usaha United.

"Pada hari yang berbeza, kami akan memenangi perlawanan ini dan selesa untuk meneruskan corak permainan seperti ini," kata Maguire lagi.

"Kami mahu memenangi gelaran. Malam ini kami menonjolkannya dan berhak memenangi pertemuan ini.

"Mungkin pengalaman cetek membuatkan kami terpaksa membayar dengan harga yang mahal kerana walaupun kami berada di puncak permainan dan mencipta peluang, kami masih tidak seharusnya melepaskan gol kedua."