PARTIZAN BELGRADE 0 MANCHESTER UNITED 1

Harry Maguire berbangga kerana mengetuai Manchester United buat kali pertama ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Partizan Belgrade dalam aksi Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.


Pertahanan bernilai GBP80 juta (RM429 juta) itu diberikan tanggungjawab untuk memakai lilitan kapten dalam ketiadaan Ashley Young dan David de Gea.

Jaringan Anthony Martial menerusi sepakan penalti sebelum tamat separuh masa pertama sudah cukup buat United meraih kemenangan pertama di tempat lawan dalam 12 perlawanan dalam semua kejohanan, sekali gus melonjak ke tangga teratas Kumpulan L.

United sekali lagi jauh daripada persembahan meyakinkan ketika berkunjung ke tempat lawan tetapi Maguire berpuas hati kerana memastikan gawang gol United tidak dibolosi buat kali ketiga dalam saingan UEL serta menikmati saat yang tidak akan dilupakannya.

"Ia merupakan satu kebanggaan mengetuai pasukan, terutama sebuah kelab gergasi seperti United," katanya kepada BT Sport. "Saya sangat berbangga tetapi lebih gembira kerana tidak dibolosi dan meraih tiga mata.

"Sangat lega kerana meraih kemenangan di tempat lawan, United tidak berjaya menampilkan permainan yang terbaik tetapi keputusan ini amat penting buat pasukan."

Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer, memberikan penampilan sulung kepada James Garner serta seorang lagi pemain daripada akademi, Brandon Williams.

Antara pemain berpengalaman yang beraksi untuk United pada usia 27 tahun, Phil Jones, memuji barisan muda United dalam mengisi skuad ketika berdepan Partizan.

"Saya berasakan mereka telah bermain dengan cemerlang," katanya.

"Kami berdepan suasana kurang senang buat United serta permukaan padang yang kurang baik -- gandingan itu boleh berbangga dengan diri sendiri. Mereka adalah sebab utama kami berjaya tidak dibolosi."