Magis Messi cipta sejarah LaLiga, samai rekod Henry di Eropah

Oleh Muzaffar Musa 12 Julai 2020 1462
Magis Messi cipta sejarah LaLiga, samai rekod Henry di Eropah
Hantaran licik Lionel Messi  bukan sahaja memberikan Barcelona gol pembukaan ketika menentang Real Valladolid awal pagi tadi, malah turut mencoretkan sejarah baru dalam LaLiga.

Arturo Vidal memanfaatkan hantaran pendek Messi dari hujung kotak penalti untuk melakukan rembatan rendah ke kiri gawang yang memberikan Barcelona kemenangan 1-0.

Ia bermakna Messi telah merekodkan kedua-dua, jaringan dan bantuan gol, yang melebihi angka 20 dalam liga utama Sepanyol itu musim ini selepas menjaringkan 22 gol menjelang kunjungan ke laman Valladolid itu.

++++++++++++++

Tiada pemain lain pernah mencapai dua rekod individu itu dalam satu musim di Sepanyol dan satu-satunya pemain yang pernah melakukannya dalam lima liga utama di Eropah ialah Thierry Henry, yang menghasilkan 24 gol dan 20 bantuan jaringan buat Arsenal dalam musim 2002-03.

Messi juga menjadi pemain pertama mendaftarkan 20 bantuan jaringan dalam satu musim LaLiga sejak bekas rakan sepasukannya, Xavi, melakukannya dalam musim 2008-09, di mana Barca menjulang kejuaraan liga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara Eropah di bawah bimbingan Pep Guardiola.

Walaupun rekod jaringan itu tidak sebanyak musim-musim sebelumnya, pemain berusia 33 tahun itu masih mampu menghimpunkan gol dan bantuan jaringan yang melebihi angka 40 dalam enam kempen LaLiga berturut-turut.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen