SAINT-ETIENNE 0 OLYMPIQUE LYON 5

Skuad bimbingan Bruno Genesio terus mengejar dua pasukan teratas Ligue 1, Monaco dan Paris Saint-Germain (PSG), selepas membelasah Saint-Etienne 5-0 di Stade Geoffroy Guichard, tengah malam tadi.


Bermain di laman lawan, Lyon hanya memerlukan 11 minit untuk menembusi benteng tuan rumah apabila Memphis Depay menggunakan kesempatan menerusi serangan balas untuk meletakkan Lyon di depan.

Ketua pasukan, Nabil Fekir, melebarkan penguasaan pelawat pada minit ke-26 apabila melakukan larian solo dari tengah padang sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang sama sekali tidak dapat diselamatkan penjaga gol, Stephane Ruffier.

Bersambung dalam babak kedua, Saint-Etienne menerima tamparan hebat apabila pertahanan, Leo Lacroix, diperintah keluar padang akibat layangan kad merah selepas melakukan bentesan keras terhadap Fekir.

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh Lyon dengan menambah dua lagi gol menerusi Mariano Diaz yang menyempurnakan hantaran Kenny Tete pada minit ke-58 sebelum Bertrand Traore turut mencatat nama dalam senarai penjaring dengan sepakan kaki kiri, tujuh minit kemudian.

Fekir melengkapkan malam gemilang Lyon dengan gol kedua peribadi ketika permainan berbaki enam minit selepas melepasi perangkap ofsaid dan mudah menewaskan Ruffier.

Kemenangan itu menyaksikan Lyon berada di tangga ketiga liga dengan 25 mata, tiga mata di belakang Monaco dan dibezakan tujuh mata dengan pendahulu, PSG.