Bintang Inter, Romelu Lukaku, memuji bekas kelabnya, Manchester United, selepas dia menyumbangkan dua gol untuk membantu Nerazzurri mara ke final Liga Europa.

Lukaku menyumbat dua gol lewat ketika Inter membelasah Shakhtar Donetsk 5-0, awal pagi tadi, yang menyaksikan Lautaro Martinez dan Danilo D'Ambrosio turut berada dalam senarai penjaring.

Naib juara Serie A itu berpeluang untuk berentap dengan bekas pasukan Lukaku, namun semalam juara lima kali, Sevilla, menjadi penghalang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Begitupun, walaupun hasrat untuk bertemu The Red Devils selepas meninggalkan Old Trafford tahun lalu tidak kesampaian, penggempur utama Belgium itu yakin United akan terus meningkat di bawah bimbingan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer -- yang mengangkat bekas juara 2017 tersebut meraih tangga ketiga dalam kempen EPL musim ini selain tiga kemaraan ke separuh akhir.

"United sudah mencuba yang terbaik," katanya kepada BT Sport selepas perlawanan tamat.

"Saya rasa mereka telah mengharungi musim yang sangat bagus, Ole melaksanakan tugasnya dengan baik. Pemain-pemain juga telah melakukannya dengan sangat baik.

"(Mason) Greenwood semakin menyerlah termasuk (Anthony) Martial dan (Marcus) Rashford, saya meletakkan harapan terhadap mereka.

"Saya sangat gembira buat mereka, mereka kelihatan sangat hebat untuk memberi cabaran musim depan. Tidak syak lagi."


Jaringan berganda Lukaku itu bermakna dia telah menyumbangkan 33 gol dalam musim pertamanya bersama Inter selain turut muncul pemain pertama yang meledak gol dalam 10 perlawanan Liga Europa berturut-turut untuk mengatasi rekod sendiri yang dilakarnya di peringkat suku akhir yang lalu.

Di sebalik Martinez, yang hanya menyumbangkan tiga gol sebaik baki Serie A musim ini bersambung Jun lalu, turut membuat penampilan memberangsangkan, Lukaku tetap menegaskan bahawa Sevilla adalah pasukan pilihan menjelang pertemuan perlawanan akhir awal pagi Sabtu ini.

"Pada masa ini segalanya berjalan lancar tetapi kami masih perlu berjuang -- hanya ada satu perlawanan lagi yang harus ditempuhi," kata pemain antarabangsa Belgium itu.

"Rekod adalah bagus untuk dipecahkan tetapi pada akhirnya kami mahu menang dan saya fikir pasukan yang akan kami berdepan kelak merupakan pasukan pilihan.

"Jadi kami harus pastikan kami dapat menjalani proses pemulihan dengan baik, kemudian mempersiapkan diri.

"Segala perancangan kami berjalan dengan baik, semua orang melakukan yang terbaik. Secara fizikal dan taktikalnya, semua orang berada di tahap 100 peratus dan kami akan terus berusaha jadi ia satu perkembangan yang menarik."