Luis Enrique mendakwa Robert Moreno sebagai 'tidak setia' apabila berita mengejutkan bekas pembantunya itu dipinggirkan daripada barisan kejurulatihan pasukan Sepanyol semalam berterusan.

Bekas pengurus Barcelona berkenaan berdepan pihak media buat kali pertama sejak kembali menjawat peranan itu Khamis lalu dan membangkitkan soal karakter Moreno.

Moreno berkhidmat sebagai pembantu sebelum Luis Enrique melepaskan peranan utama itu pada Jun lalu demi menjaga anak perempuannya, Xana, yang sakit dan meninggal pada Ogos lalu berikutan menghidapi kanser tulang.

Di bawah asuhan Moreno, La Roja layak ke pusingan akhir Euro 2020 tetapi dia tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan bimbingan Luis Enrique itu ekoran pertelagahan di antara mereka.

"Satu-satunya orang yang bertanggungjawab atas ketiadaan Robert Moreno dalam barisan kakitangan saya adalah kerana saya sendiri," kata Luis Enrique.

"Pada 12 September lalu, saya bertemu dengannya di rumah saya dan dia memberitahu bahawa dia mahu menjadi pengurus dalam Kejohanan Eropah dan selepas itu, jika saya mahu, dia akan menjadi pembantu saya.

"Saya faham bahawa dia bercita-cita tinggi dan adalah menjadi impiannya untuk bertindak sebagai pengurus.

"Tetapi bagi saya, ia tidak setia, saya tidak akan melakukannya. Bagi saya, ia adalah satu kesilapan besar. Saya faham dengan kedudukannya tetapi saya tidak mahu berkongsi mengenainya.

"Saya memberitahunya bahawa saya tidak lagi melihatnya sebagai pembantu saya dan saya tidak tahu bilakah saya akan kembali tetapi saya berasa seperti sedang bekerja.

"Dia mengakhiri pertemuan itu dengan cara yang mesra dan kemudian saya memanggil barisan kakitangan saya untuk memaklumkan mengenai pendapat saya dan satu pihak lagi supaya tidak ada yang salah faham dengan ayat-ayat saya.

"Oleh itu, saya perlu mengatakan bahawa saya tidak pernah mendekati Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF), saya tidak pernah menghubungi mereka.

"Secara profesionalnya, saya tidak mempunyai alasan untuk mengkritik Robert Moreno, dia sudah bersedia dan merupakan pengurus yang sangat baik. Kata-kata yang diucapkannya berbeza dengan hakikatnya.

"Saya bukan orang yang pandai berlakon tetapi saya juga bukan pihak yang salah."

Pengurus berusia 49 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada dunia bola sepak atas sokongan yang diterimanya susulan kematian anak perempuannya dan mengesahkan keinginannya untuk kembali ke bidang itu.

"Adalah sukar untuk saya memutuskan bilakah saya akan kembali ke bangku simpanan tetapi ia akan berlaku tidak lama lagi," katanya lagi.

"Saya mahu kembali kepada kehidupan sebenar saya dengan segera untuk melakukan apa yang saya gemari dan membuktikan kepada keluarga saya bahawa hidup perlu diteruskan.

"Saya baik-baik sahaja. Di tahap profesional, saya sangat teruja. Saya bukannya datang ke tempat baru, saya sudah biasa dengan wajah yang ditemui. Saya telah menerima banyak perasaan kasih sayang sejak beberapa bulan lalu."