Joachim Low berasakan skuad Jerman kendaliannya tidak berada dalam rentak kejohanan selepas terikat 1-1 dengan Switzerland dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah di Basel awal pagi tadi.

Jerman masih ternanti-nanti kemenangan pertama mereka dalam kempen itu selepas turut terikat dengan keputusan sama ketika menentang Sepanyol, Khamis lalu.

Ilkay Gundogan memberikan Jerman gol pendahuluan pada minit ke-14 tetapi beberapa peluang yang dibazirkan menyaksikan kelebihan itu dipadamkan Silvan Widmer menerusi gol penyamaan dalam babak kedua.

Jerman kini ketinggalan dua mata di belakang Sepanyol dalam saingan Kumpulan A4 dan ketua jurulatih, Low, berasakan pasukannya tidak layak memperoleh lebih daripada satu mata.

"Sama seperti ketika berdepan Sepanyol, kami gagal menghasilkan gol kedua yang akan memberikan kami lebih keselesaan," katanya kepada ZDF.

"Dua kali berturut-turut kami mendahului 1-0 dan dua kali juga kami gagal membawa pulang apa-apa (kemenangan).

"Kami memperoleh beberapa peluang yang baik tetapi membenarkan Switzerland bangkit dalam separuh masa kedua.

"Kami terlalu banyak kehilangan bola dan keputusan seri ini amat wajar.

"Sesetengah pemain tidak berada dalam rentak kejohanan, sesetengah yang lain tidak beraksi.

"Pasukan Swis tiada apa untuk disesali dalam babak kedua, mereka memberikan segala-galanya," katanya.

Pemain tengah, Toni Kroos, turut bersetuju dengan sentimen jurulatihnya itu dengan berkata: "Apabila ada enam mata untuk direbut dan kami hanya mengambil dua daripadanya, benar, ia mengecewakan.

"Malangnya, ia senario yang hampir sama seperti ketika menentang Sepanyol.

"Kami perlu berusaha untuk mencari penyelesaian apabila lawan bermain dengan amat tinggi.

"Kami memerlukan pemain yang mahukan bola walaupun ketika kami berada dalam tekanan," katanya.