Bastian Schweinsteiger akan tercatat dalam sejarah sebagai salah seorang legenda bola sepak Jerman, kata ketua jurulatih pasukan itu, Joachim Low.

Juara dunia 2014 itu mengumumkan persaraannya semalam selepas Chicago Fire gagal ke playoff Liga Utama Amerika Syarikat (MLS)

Schweinsteiger cukup berpengaruh dalam skuad kendalian Low itu ketika meraih kejuaraan di Brazil lima tahun lalu dengan Jerman menewaskan Argentina 1-0 dalam final di Stadium Maracana.

Bekas pemain Bayern Munich dan Manchester United itu melakukan 121 penampilan dan mengetuai skuad kebangsaannya selama dua tahun selepas persaraan Philipp Lahm.

"Hari ini kita bercakap mengenai perlawanan dengan Argentina selepas Basti menamatkan kariernya, dia pemain dalam kelas tersendiri," kata Low kepada media mengenai pengumuman Schweinsteiger.

"Dia salah seorang pemain terbaik yang pernah dimiliki Jerman.

"Setiap daripada kita pasti memiliki gambaran mengenainya di kepala dan ia adalah perlawanan itu, final di Stadium Maracana, dia sudah berdarah, dia tetap bangun untuk meneruskannya.

"Dia berjuang hingga ke penghujung. Semangatnya untuk menang dapat dilihat dalam setiap pergerakannya.

"Dia sememangnya pemain yang hebat dengan perwatakan yang hebat," katanya.

Low berkata Schweinsteiger, yang memenangi lapan kejuaraan Bundesliga dan satu dalam Liga Juara-Juara Eropah, sentiasa mempunyai tempat dalam skuad kebangsaan Jerman.

"Setiap pemain yang pernah beraksi untuk kami, sudah pasti akan dialu-alukan. Sama seperti yang Miroslav Klose fikirkan.

"Saya mengenalinya, dia sentiasa terbuka, sentiasa jujur dan sentiasa menghargai penyokong.

"Penyokong kami menyayanginya.

"Buat Bastian, kami sentiasa mempunyai tempat untuk anda bersama kami," tambahnya.