Pertahanan Croatia, Dejan Lovren, menjangkakan perlawanan "panas" pasukannya yang akan berdepan England dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi nanti.

Pemain Liverpool berusia 29 tahun itu merupakan sebahagian daripada skuad Piala Dunia Croatia yang menyingkirkan England ketika peringkat separuh akhir di Russia.

Kedua-dua pasukan sedar akan kepentingan perlawanan kali ini yang akan memutlakkan kedudukan teratas Kumpulan 4, Liga A, sekali gus mara ke pusingan empat terbaik kejohanan itu.

Lovren jelas bersedia berdepan skuad The Three Lions itu dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan mereka.

"Kami akan berdepan England dalam perlawanan terakhir. Itu adalah sebab utama untuk kami tampil lebih kuat," katanya kepada Daily Mirror.

"Saya rasakan perlawanan akan berlangsung hangat kerana mereka tahu kemampuan kami dan kami tidak boleh lari daripada itu.

"Saya gemar berdepan England. Saya mengenali pemain mereka dan bersaing dalam Liga Perdana," katanya lagi.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam aksi seri di Rijeka sebelum ini dan Lovren percaya keputusan itu akan dijadikan peringatan buat pasukannya.

"Ramai mengkritik saya sebelum ini tetapi mereka tidak terkata apa sebaik England gagal menjaringkan gol dalam perlawanan terakhir kami.

"Mereka akan bermotivasi tinggi selepas kegagalan dalam Piala Dunia lalu, namun kami akan tampil lebih berani.

"Ini bukan aksi persahabatan. Kami telah menewaskan Sepanyol dan akan melakukannya sekali lagi berdepan England," tambahnya.

Sepanyol kekal selaku pendahulu kumpulan walaupun tewas 2-3 kepada Croatia sebelum ini.

Keputusan seri tanpa jaringan akan menyaksikan Croatia tersingkir dan keputusan seri dengan jaringan akan menyingkirkan England daripada Liga A.