FUENLABRADA 0 REAL MADRID 2

Real Madrid menepati ramalan apabila mudah membenam cabaran skuad dari Divisyen Tiga, Fuenlabrada, 2-0 dalam aksi di Estadio Fernando Torres, awal pagi tadi.


Pelawat yang turun tanpa pemain-pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo, Keylor Navas, Gareth Bale dan Luka Modric hanya mempertaruhkan pasukan muda ketika bertandang ke laman lawan.

Bagaimanapun, Fuenlabrada yang tidak tewas dalam 11 perlawanan sebelum ini, hampir dikejutkan pada minit ke-20 tetapi sepakan percuma Dani Ceballos berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol, Jordi Codina.

Codina sekali lagi bertindak cemerlang ketika babak pertama berbaki seminit, apabila menepis sepakan separa voli daripada Marcos Llorente sebelum menyaksikan bola singgah ke palang dan keluar, membolehkan tuan rumah mengikat kedudukan 0-0 dalam separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Zinedine Zidane meneruskan asakan dan hasilnya mereka meraih sepakan penalti selepas Achraf Hakimi dijatuhkan oleh Fran Garcia dan Marco Asensio tenang menyempurnakan peluang tersebut bagi meletakkan Madrid 1-0 di depan pada minit ke-63.

Walaupun tuan rumah cuba memburu gol penyamaan, perkara sebaliknya berlaku apabila serangan balas Madrid memaksa Paco Candela melakukan bentesan dalam kotak penalti.

Candela, yang terlebih dahulu meraih kad kuning pertama sebelum itu, diperintahkan keluar padang akibat layangan kad kuning kedua dan sepakan penalti buat pelawat mudah disempurnakan Lucas Vazquez pada minit ke-80.

Jesus Vallejo turut diarahkan keluar padang akibat kad merah ketika permainan berbaki seminit untuk ditamatkan setelah melakukan terjahan menggunakan dua kaki terhadap kapten tuan rumah, Luis Milla.

Kedudukan kekal 2-0 sehingga wisel penamat, memberikan Zidane bekalan selesa menjelang aksi kedua pada 29 November depan.