Pertahanan Real Madrid, Dani Carvajal, berkata Los Blancos kini di landasan terbaik untuk meraih kejuaraan LaLiga selepas menewaskan Getafe 1-0, awal pagi tadi.

Real meraih kelebihan empat mata di puncak liga mengatasi Barcelona selepas kemenangan di Stadium Alfredo di Stefano.

Sergio Ramos menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-79 tatkala Los Blancos mencatat kemenangan keenam berturut-turut sejak saingan disambung susulan penangguhan akibat wabak coronavirus.

Real tidak memenangi LaLiga sejak musim 2016-17 tetapi skuad kendalian Zinedine Zidane itu kini di landasan terbaik untuk menamatkan dominasi Barca tatkala saingan berbaki lima perlawanan.

"Jelas sekali kelebihan empat mata membuatkan ia bergantung kepada kami untuk menjuarai liga. Kami di landasan terbaik," kata Carvajal.

"Getafe bermain dengan baik. Kami harus mengambil kesempatan ketika Barca mencicirkan mata. Aksi hari ini seperti final.

"Getafe membuatkan aksi menjadi sukar. Kami perlu serius membuktikan sebagai satu pasukan.

"Saya berjaya melepasi situasi satu lawan satu dan meraih penalti.

"Kami bakal berdepan aksi sukar pada Ahad ini."