LIVERPOOL 2 GENK 1

Jurgen Klopp secara berjenaka mendakwa Liverpool akan bertanya kepada Aston Villa untuk beraksi dalam suku akhir Piala EFL di Qatar selepas pertemuan itu disahkan akan berlangsung sehari sebelum saingan Piala Dunia Kelab.


Semalam, pihak EFL mengumumkan Liverpool akan berdepan Villa pada 17 Disember ini, sama seperti perancangan awal, walaupun The Reds cuba meminta penyusunan semula jadual kerana komitmen di Qatar tatkala separuh akhir dijadualkan pada 18 Disember ini.

Walaupun perubahan tidak dapat dilakukan, Liverpool diberi ruang oleh penganjur untuk membenarkan mereka memilih skuad yang berbeza dengan kelompok pemain yang akan ke Qatar.

Klopp kekal positif dengan situasi itu, namun berseloroh Villa pasti teruja untuk menentang mereka di luar.

"Kami bertanya Villa jika mereka mahu ke Qatar dan kami boleh beraksi di sana," katanya selepas kemenangan 2-1 ke atas Genk dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah di Anfield, awal pagi tadi.

Liverpool membuka jaringan menerusi Georginio Wijnaldum pada minit ke-14, disusuli gol penyamaan Mbwana Samatta (m-40), sebelum jaringan AlexOxlade-Chamberlain pada minit ke-53 menjadi pemisah.

"Kami tidak tahu tentang logistik. Ada keputusan yang perlu kami lakukan tetapi kami memerlukan masa untuk berfikir bagaimana untuk menghadapi dua perlawanan itu.

"Dalam tempoh beberapa minggu, kami akan membuat keputusan bagaimana menghadapinya.

"Kami menghormati kejohanan. Kami mahu beraksi dalam Piala EFL dan satu-satunya perkara yang saya tidak suka adalah aksi timbal balik separuh akhir. Saya tidak faham.

"Anda hanya boleh beraksi dalam Piala Dunia Kelab jika memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan ini tidak berlaku berjuta kali.

"Anda berharap pasukan akan tampil dan semuanya baik. Kami mengabaikannya, pemain hanya mahu bermain bola sepak dan kami layak ke suku akhir Piala EFL.

"Saya tidak mahu membatalkan kejohanan itu. Saya telah bercakap mengenai masalahnya, ia jelas. Mereka tidak dapat menanggungnya dan kami perlukan penyelesaian."

Kemenangan dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi membolehkan Liverpool naik ke tangga teratas Kumpulan E tatkala Napoli hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 di laman sendiri ketika melayan kunjungan Salzburg.

Dan ketika Klopp bersyukur dapat mengelak daripada mimpi ngeri -- selepas Genk mengikat kedudukan 1-1 ketika rehat -- dia fokus terhadap kepentingan mengelak kecederaan memandangkan bakal menghadapi aksi getir Liga Perdana Inggeris menentang juara bertahan, Manchester City, hujung minggu ini.

"Apa yang penting, kami menang dan tiada siapa cedera," ujar Klopp.

"Keputusan tetap tidak mengubah apa-apa kerana kami tidak menamatkan perlawanan seperti yang dirancang tetapi ia membuatkan pertemuan menjadi menarik sambil Genk tampak mencabar.

"Kami mengungguli kumpulan tetapi mahu mengekalkannya sehingga penamat. Kami akan berdepan dua aksi getir.

"Lebih lama perlawanan berlangsung, lebih banyak momentum diraih lawan. Alisson terpaksa melakukan aksi tangkas menafikan percubaan. Kemenangan menjadi tajuk utama untuk perlawanan tetapi saingan kumpulan masih belum dimuktamadkan."