Pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk, percaya pasukannya telah menyesuaikan diri dengan taktik Paris Saint-Germain (PSG) yang membuatkan Jurgen Klopp marah ketika pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi semalam.

Pengendali Liverpool, Klopp, mengkritik corak lakonan PSG yang membuatkan pemainnya tampak seperti pemotong daging ketika tewas 1-2 di Parc Des Princes.

Keputusan itu membuatkan Liverpool, naib juara tahun lalu, memerlukan kemenangan ke atas Napoli dalam aksi seterusnya untuk mencerahkan peluang melepasi Kumpulan C.

Kapten Belanda, Van Dijk, berasa sudah tiba masa untuk meraih kesalahan yang lebih sopan berbanding corak yang ditampilkan oleh lawan sehingga membuatkan Jamie Carragher menyifatkannya sebagai sesuatu yang memalukan buat pendahulu Ligue 1 itu.

"Jelas sekali mereka pemain bertaraf dunia tetapi saya tidak rasa ia perlu beberapa kali," kata Van Dijk.

"Kadangkala mereka dilanggar dan jatuh tetapi ada ketika ia tampak terlalu mudah, membuatkan saya kecewa.

"Sangat penting untuk mengekalkan ketenangan tetapi setiap kali kami melakukan kesalahan, mereka akan menuju kepada pengadil untuk memberikan kad kuning.

"Kami juga perlu melakukannya beberapa kali dan saya rasa dalam babak kedua, kami beraksi lebih baik. Ia bukan corak permainan yang saya suka.

"Kami masih menghormati mereka sebagai pemain kerana mereka bertaraf dunia tetapi perkara itu tidak perlu untuk beberapa kali.

"Namun, mereka menyumbat dua gol, kami tewas dan itu kesudahannya."

Liverpool berdepan aksi setempat Merseyside dengan Everton serta dua kunjungan ke Burnley dan Bournemouth sebelum menghadapi perlawanan penentuan menentang Napoli pada 11 Disember ini.