Real Madrid memenangi gelaran Liga Remaja Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) selepas menewaskan Benfica 3-2 di Nyon lewat malam tadi.

Madrid, yang dibimbing ikon Los Blancos, Raul, berada di depan pada minit ke-26 apabila Pablo Rodriguez menanduk masuk bola hantaran lintang Sergio Arribas dari jarak enam ela.

Rodriguez dikeluarkan tidak lama selepas itu tetapi ia tidak banyak menjejaskan jentera serangan Madrid apabila pasukan Sepanyol itu menggandakan kelebihan mereka pada penghujung babak pertama selepas hantaran Arribas ditolak masuk Henrique Jocu ke gawang sendiri.

Benfica merapatkan kedudukan menerusi penyudah jarak dekat Goncalo Ramos pada minit ke-49 tetapi Madrid mengembalikan kelebihan dua gol hanya seminit berselang menerusi sentuhan leret Miguel Gutierrez.

Ramos kemudian menanduk masuk bola daripada sepakan sudut pada minit ke-57 untuk sekali lagi merapatkan kedudukan.

Pasukan Portugal itu berdepan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-68 tetapi penjaga gol Madrid, Luis Lopez, menolak keluar sepakan penalti Tiago Dantas untuk membawa pulang trofi kejohanan itu ke Sepanyol.