Luis Enrique menuntut pengkritik agar menyanjungi David de Gea selepas penjaga gawang itu bertindak cemerlang ketika Sepanyol seri 1-1 dengan Jerman dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah di Stuttgart, awal pagi tadi.

Jose Gaya menghadiahkan Sepanyol satu mata di Arena Mercedes-Benz selepas memadam gol tuan rumah pada minit ke-51 menerusi Timo Werner.

Begitupun, penjaga gol Manchester United itu boleh dikatakan menjadi kunci buat pasukan bimbingan Luis Enrique itu untuk membolehkan mereka berkongsi mata.

De Gea menyelamatkan deretan percubaan berbahaya daripada Thilo Kehrer, Julian Draxler dan Leroy Sane dalam babak pertama sementara turut menafikan peluang jarak dekat Niklas Sule ketika menuju masa sebenar permainan berakhir.

Beberapa siri kesilapan menyaksikan pemain berusia 29 tahun itu mengakhiri musim 2019-20 dengan situasi terumbang ambing, tetapi Luis Enrique percaya De Gea termasuk bintang kurang berpengalaman La Roja, Kepa Arrizabalaga, yang menempuhi tempoh sukar di Chelsea telah dikritik tidak adil.

"Dia (De Gea) sering memperagakan ketangkasan seperti ini di England," kata pengurus Sepanyol itu kepada wartawan sejurus perlawanan.

"Kami mengawasinya secara menyeluruh tetapi dia dan Kepa pasti akan menjadi bahan berita utama seandainya mereka melakukan kesilapan. Mereka sudah terbiasa.

"Dengan aksi mantap yang ditonjolkan, kami harus mengatakan betapa hebatnya penjaga gawang yang kami miliki ketika ini.

"Saya akan memberi dorongan supaya mereka tidak berasa goyah dan saya menaruh harapan tinggi terhadap posisi ini.

"Tetapi disebabkan media acap memberikan mereka tempoh yang sukar, saya perlu mencurahkan lebih kasih sayang kepada mereka.

"Mereka berdua sedar bahawa sebarang kesalahan akan menjadi lebih ketara berbanding pemain lain, jadi mereka sudah biasa."

Bekas pengurus Barcelona itu turut memuji semangat juang pemain muda yang terdiri daripada Ansu Fati Mikel Merino, Oscar Rodriguez dan Ferran Torres selepas diberi peranan utama.

Sementara itu, pemain sayap Wolves, Adama Traore, akan mendapat peluang sulungnya apabila diberi jaminan akan diturunkan bagi menghadapi Ukraine, awal pagi Isnin ini, selepas lulus ujian kesihatan berikutan positif COVID-19.