Liga M3: Batal jika pandemik belum berakhir

Oleh Tengku Danish Bahri   1 Mei 2020 86
Liga M3: Batal jika pandemik belum berakhir
Pendahulu Liga M3, Kuala Terengganu (KT) Rovers, berpendapat saingan divisyen ketiga itu wajar dibatalkan sekiranya hanya dapat disambung hujung tahun ini.

Pengendalinya, Mohd Azhari Salim, berkata kontrak pemain bola sepak di negara ini yang kebanyakannya tamat pada November menjadi halangan utama status liga tempatan.

Bekas penolong jurulatih skuad Liga Super T-Team itu juga menyifatkan liga hanya selamat diteruskan jika pihak berkuasa menjamin tiada lagi penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"November sudah dikira agak lewat untuk meneruskan liga kerana kontrak pemain yang tamat setiap hujung tahun.

"Setiap pasukan pula memerlukan paling tidak dua minggu untuk berlatih.

"Jadi memang kesuntukan masa dan pada saya lebih baik batalkan saja," jelas Azhari.

Menurut Azhari lagi adalah mustahil untuk mengikuti langkah pencegahan seperti jaga penjarakkan memandangkan sukan ini sendiri memerlukan sentuhan fizikal di atas padang.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan permohonan menyambung saingan liga tempatan pada Ogos telah ditolak pihak berkuasa.

Turut disahkan adalah pembatalan Liga M musim 2020 jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih tidak membenarkan sebarang aksi bola sepak sehingga September depan.

Status Liga M3 pula hanya akan diputuskan Jun ini dengan hanya dua perlawanan sempat berlangsung menyaksikan KT Rovers menang kedua-dua aksi tersebut.

Kredit foto: KT Rovers

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri  

Komen