KDM Telupid muncul juara Liga KDM Malaysia selepas menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam final sengit bertemu KDM Sepanggar di Stadium Penampang, semalam.

Selepas terhenti kira-kira sejam pada minit ke-22 berikutan hujan lebat, Telupid mendahului menerusi tandukan bekas pemain Sabah, Jufrey Omopor, pada minit ke-30.

Sepanggar bangkit menerusi beberapa serangan berbahaya sebelum menyamakan kedudukan menerusi Yuhendry Rusdi.

Babak kedua turut menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun buntu untuk memperoleh jaringan dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Nasib lebih memihak Telupid apabila menyempurnakan kesemua lima sepakan manakala salah seorang pemain Sepanggar pula menyepak tinggi bola melepasi palang gol.

Terdahulu, Semporna muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan KDM Kudat dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.