Kejohanan bola sepak Liga KDM Malaysia akan 'direhatkan' tahun depan bagi memberi laluan dan tumpuan kepada kejohanan baru, iaitu Piala Borneo.

Pertandingan itu dijangka berlangsung awal tahun dengan beberapa pasukan dari Borneo, termasuk Sabah, Sarawak, Kalimantan (Indonesia), Brunei dan Labuan akan dijemput.

Presiden KDM Malaysia yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata kejohanan itu akan melibatkan lapan pasukan dengan empat slot akan diisi oleh pasukan dari luar Sabah.

"Masing-masing dua pasukan daripada Liga KDM Malaysia, iaitu juara Piala FA dan juara Liga akan diserapkan dalam kejohanan itu nanti manakala dua lagi slot pasukan tempatan kami akan putuskan kelak.

"Bagi empat slot lagi, kami akan jemput pasukan dari Sarawak, Kalimantan, Brunei dan juga Labuan," katanya ketika ditemui di Penampang kelmarin.

"Kami harap dengan adanya kejohanan liga yang berprestij di Sabah ini, ia mampu melahirkan pemain berbakat, terutama dari luar bandar.

"Seperti dalam kejohanan Liga KDM Malaysia yang baru saja berakhir, kita lihat ramai pemain berbakat muncul dan kami harap liga Piala Borneo nanti akan turut melahirkan pemain berkualiti," katanya.