AC Milan memenangi penentuan sepakan penalti buat kali pertama di peringkat Eropah sejak 2003 selepas layak ke peringkat kumpulan Liga Europa dengan kemenangan dramatik.

Sejak menewaskan Juventus dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Old Trafford 17 tahun lalu, Milan gagal memenangi sebarang penentuan sepakan penalti dalam kejohanan peringkat Eropah.

Bagaimanapun, mereka menamatkan kemarau itu menerusi kepetusan seri dramatik dan penentuan penalti yang dimenangi 9-8 (keseluruhan 24 sepakan penalti diambil) ke atas Rio Ave dalam playoff Liga Europa di Vila do Conde awal pagi tadi.

Milan mengheret perlawanan itu ke penentuan penalti selepas pemain tengahnya, Hakan Calhanoglu, menyamakan kedudukan menerusi sepakan terakhir dalam masa tambahan perlawanan di Portugal itu.

Dalam penentuan penalti menarik itu, Rio Ave berpeluang mengejutkan Milan untuk mencipta kejutan ke peringkat kumpulan, termasuk sepakan Nelson Monte yang sekadar menggegar kedua-dua belah tiang gol.

Penjaga gol kedua-dua pasukan juga berusaha menolak sepakan lawan ke luar gawang mereka dan setiap pemain terpaksa mengambil sepusingan lagi sepakan penalti sebelum Gianluigi Donnarumma melakukan aksi menyelamat yang membawa Milan ke peringkat kumpulan.


Skuad kendalian Stefano Pioli itu kini tidak tewas sebanyak 18 kali berturut-turut dalam kesemua kejohanan dan perlu mempersiapkan diri untuk menentang pendatang baru, Spezia, dalam perlawanan Serie A hujung minggu ini.