Stefano Pioli berhasrat merombak barisan Milan dalam usaha meneruskan penampilan hebat apabila berdepan Lille awal pagi esok.

Berdasarkan momentum mereka sejak penghujung musim 2019-20, Milan -- yang belum tewas dalam 24 perlawanan -- telah mengharungi kempen baru yang luar biasa.

Mereka menguasai puncak Serie A dengan 16 mata daripada 18 mata yang direbut selain meraih kemenangan selesa ke atas Celtic dan Sparta Prague di peringkat kumpulan Liga Europa.

Milan akan menyambut kunjungan Lille untuk kempen di pentas Eropah sebelum berdepan Hellas di San Siro, awal pagi Isnin depan, sambil Pioli merancang untuk menggilirkan pemain bagi memastikan kecergasan skuadnya.

"Kami memerlukan pasukan untuk terus bertenaga dan cergas daripada segi mental dan fizikal," katanya.

"Jadi sesi latihan terakhir hari ini mustahak (untuk pemilihan pasukan) tetapi akan ada beberapa perubahan.

"Kami sedar kami telah mengharungi banyak perlawanan baru-baru ini, kami mempunyai satu lagi perlawanan penting melawan sebuah pasukan yang mantap.

"Kami hanya memberi fokus untuk meneruskan jalan ini dengan memberikan kemampuan terbaik kami. Kami bekerjasama dengan baik. Perjuangan kami masih awal.

"Saya selalu mempercayai pemain saya. Kami cuba memenangi setiap perlawanan tetapi kami baru memulakan projek ini.

"Skuad ini masih mentah, kami belum memenangi apa-apa dan oleh itu masih mempunyai banyak tugas yang perlu dilakukan.

"Lille adalah sebuah pasukan yang bagus. Kami telah bermula dengan baik di peringkat kumpulan dan mahu terus seperti ini."