Kejayaan mengatasi dua lawan lebih berpengalaman mahu diteruskan pasukan Pikat FA untuk meneruskan kemaraan dalam saingan Piala Pusingan Liga Amatur Terengganu (TAL).

Kelab yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu menamatkan aksi Liga Perdana TAL di kedudukan ketiga dengan mengumpul 16 mata daripada sembilan perlawanan.

Pikat FA kemudian menewaskan Gemuda FC 2-1 di peringkat playoff untuk muncul antara lapan pasukan terbaik merebut Piala Pusingan TAL sebelum menang 4-1 ke atas Island FC, sekaligus menempat tiket ke separuh akhir.

Menurut pengurus pasukan itu, Suhaimi Sauji, pencapaian dalam kancah TAL tahun ini cukup bermakna selain memuji semangat berpasukan yang ditunjukkan barisan pemainnya.

Katanya, walaupun bermula buruk di awal saingan liga dengan rentetan tiga kekalahan berturut-turut, mereka bangkit untuk mencatat lima kemenangan selepas itu.

Suhaimi turut menyifatkan skuad kendaliannya bersedia memberikan persembahan terbaik bertemu Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket dalam separuh akhir, hujung minggu ini.

“Saya sangat bersyukur dengan kejayaan tahun ini. Pemain-pemain mempamerkan semangat juang yang tinggi sejak permulaan liga,” katanya.

Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)