Liga Amatur Terengganu: PBSMT elak tekanan, Real Chukai intai kejutan

Oleh Tengku Danish Bahri 23 November 2017 236
Liga Amatur Terengganu: PBSMT elak tekanan, Real Chukai intai kejutan
Jurulatih Persatuan Bolasepak Melayu Terengganu (PBSMT) Lanjerket, Mohd Aliff Hafifi, enggan pasukannya dilabel sebagai pilihan dalam final Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Aksi bertemu Real Chukai FC, katanya, tidak boleh dianggap mudah walaupun skuad bimbingannya diperkuatkan pemain lebih berpengalaman.

Hafifi juga menjangkakan perlawanan sengit akan ditunjukkan kedua-dua pasukan yang disifatkannya memiliki kekuatan tersendiri.

“Kami harus menghormati pasukan lawan yang dibarisi pemain muda berbakat dan peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Real Chukai, Mohd Nasuha Abdullah, mencabar anak-anak buahnya meneruskan kejutan serta mengekalkan rentak kemenangan sejak tiga perlawanan lalu.

Namun, menurutnya, mereka perlu mengekalkan disiplin serta semangat berpasukan yang menjadi kunci kejayaan Real Chukai musim ini.

“Pemain-pemain bekerja keras sejak hari pertama lagi. Dengan apa yang telah dilalui, saya percaya ada kejayaan menanti Real Chukai,” tambah Nasuha.

Sementara itu, pelbagai aktiviti diadakan penganjur sebelum sepak mula, antaranya permainan video FIFA, liga sepakan penalti dan karnival jualan di perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Kemuncaknya adalah perlawanan akhir PBSMT dan Real Chukai bermula jam 8.45 malam.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen