Aksi kelayakan Piala Dunia di antara Poland dan Romania tertangguh lebih 10 minit selepas penyerang, Robert Lewandowski, terkena letupan mercun yang dibaling penonton di dalam stadium.

Objek tersebut meletup berhampiran penyerang Bayern Munich itu tatkala Poland sedang bersedia mempertahankan gawang daripada sepakan sudut Romania.

Lewandowski terpaksa menerima rawatan selama beberapa minit selepas rebah ke padang sambil menutup mukanya selepas letupan berlaku.

Selain itu, turut berlaku beberapa insiden lain, antaranya sebahagian daripada jaring gol terbakar ekoran terkena suar sementara berlaku pergaduhan di antara kedua-dua penyokong.

Lewandowksi, bagaimanapun, masih berjaya menyumbang dua gol untuk Poland untuk mengesahkan kemenangan 3-0.

Kemenangan itu meletakkan Poland sebagai pendahulu Kumpulan E, tiga mata di hadapan Montenegro, yang tewas 3-2 berdepan Armenia pada Jumaat.