Jerome Boateng berasakan rakan sepasukannya di Bayern Munich, Robert Lewandowski, merupakan penyerang yang lengkap berbanding pemain Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang.

Lewandowski dan Aubameyang dianggap sebagai dua penyerang terbaik dalam Bundesliga ketika ini dengan kedua-duanya telah menyumbang sejumlah 55 gol musim lalu.

Meskipun Aubameyang telah meledak lebih empat gol berbanding Lewandowski musim ini, namun Boateng berpendapat penyerang Poland itu jauh lebih berbisa.

"Pada saya, sukar untuk membandingkan pemain mana yang lebih hebat," Boateng memberitahu pihak media menjelang pertemuan kedua-dua kelab itu di Signal Iduna Park esok.

"Robert adalah rakan sepasukan saya tetapi saya juga telah berhadapan dengan Aubameyang ketika kami berdepan Borussia Dortmund.

"Kedua-duanya penyerang yang mantap tetapi saya akan katakan Lewandowski pemain yang lebih lengkap."

Bayern bakal turun selaku pendahulu Bundesliga dengan kelebihan enam mata berbanding pencabar lain, namun Boateng menegaskan pertemuan esok akan menghadirkan saingan sengit.

"Dortmund merupakan pencabar utama kami setiap musim," tambahnya.

"Mereka acap kali menjadi lawan yang sukar tetapi kami mahu mengutip mata penting di sana nanti.

"Perlawanan ini adalah tumpuan utama musim ini."

Bayern terpaksa beraksi tanpa kelibat Arjen Robben dan Javi Martinez yang terpaksa diketepikan ekoran masalah kecederaan.