Robert Lewandowski telah dibenarkan pulang ke Bayern Munich dan tidak akan terlibat dalam aksi persahabatan bersama skuad Poland menentang Slovenia pada Isnin.

Bayern mengumumkan pada Ahad bahawa pemain berusia 28 tahun itu akan kembali ke Jerman untuk berehat dan tidak akan terlibat dengan aksi antarabangsa.

"Mereka telah beraksi dalam banyak perlawanan di peringkat kelab dan negara, jadi mereka perlukan rehat," kata jurucakap Persatuan Bola Sepak Poland, Jakub Kwiatkowski, selepas mengesahkan pemain AS Monaco, Kamil Glik dan Lukasz Piszczek (Borussia Dormtund), turut pulang ke kelab masing-masing.

Berita tersebut melegakan pengendali Bayern, Carlo Ancelotti, tatkala bakal mempersiapkan pasukannnya menghadapi Borussia Dortmund dalam saingan Bundesliga pada Ahad.

Lewandowski meledak dua gol di hujung perlawanan bagi mengesahkan kemenangan 3-0 ke atas Romania pada Jumaat di mana dia hampir terkena mercun yang dibaling dari kerusi penonton dalam separuh masa kedua.

"Telinga saya berdesing pada awalnya," jelas Lewandowski selepas tamat perlawanan. "Saya memerlukan beberapa minit untuk pulih. Saya bernasib baik kerana tidak ada perkara serius yang berlaku."