Clement Lenglet menegaskan dia masih tidak terburu-buru untuk meninggalkan Sevilla bagi menyertai Barcelona selepas dilaporkan menarik minat kelab tersebut.

Pemain berusia 22 tahun itu menyertai Sevilla dari Nancy dengan laporan perpindahan bernilai EURO5 juta (RM24 juta) pada Januari lalu dan berjaya menyerlah di bawah kendalian Jorge Sampaoli, dengan beraksi sebanyak 17 kali dalam saingan LaLiga.

Kini di bawah kendalian Eduardo Berizzo, bekas pemain B-21 Perancis itu terus mempamerkan kualitinya dengan dipilih untuk beraksi sebanyak sembilan kali dalam 11 penampilan setakat ini.

Kebolehannya untuk mengawal bola dan ketenangan untuk mengeluarkan bola daripada zon bahaya telah menarik minat Barca tetapi pemain kelahiran Perancis itu tidak memikirkan mengenai perpindahan.

"Barcelona adalah pasukan yang berkualiti, sama seperti Sevilla, dan saya gembira di sini," katanya.

"Kami akan terus melihat apa yang bakal berlaku pada masa akan datang, tetapi saya sedang memberikan tumpuan untuk aksi LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya mula membiasakan diri, saya sedang belajar bahasa Sepanyol. Sevilla juga merupakan bandar yang cantik," ujarnya.