Legenda Manchester United dan England, Bobby Charlton, disahkan menghidap demensia.

Isteri Charlton, Norma, mengesakan penyakit itu kepada The Telegraph dan memberikan persetujuan supaya ia dilaporkan bagi meningkatkan kesedaran terhadap keadaan legenda berusia 83 tahun itu.

United dalam satu kenyataan berkata: “Semua orang di Manchester United berasa sedih kerana penyakit yang dihidapi oleh Sir Bobby Charlton.

"Kami terus mencurahkan kasih sayang dan sokongan kami kepada Sir Bobby dan keluarganya."

Charlton, mangsa yang terselamat daripada nahas udara Munich 1958, memenangi Piala Dunia bersama England pada 1966 sebelum rekod jaringan terbanyaknya bersama skuad kebangsaan diatasi oleh Wayne Rooney pada 2015.

Bekas pemain tengah itu turut memenangi tiga gelaran liga sebagai pemain United dan menjaringkan dua gol dalam aksi final Piala Eropah sepanjang 17 tahun bersama The Red Devils.

Charlton kemudian menjadi pengarah di United dan pada 2016, kelab Liga Perdana Inggeris itu dinamakan semula sebagai South Stand di Old Trafford sebagai tanda penghormatan kepadanya.

Abangnya, Jack, yang juga merupakan sebahagian daripada pasukan England pada 1966 dan pernah menguruskan Republik Ireland meninggal pada Julai lalu, juga didiagnosis dengan demensia.

Beberapa tahun kebelakangan ini terdapat tuntutan mengenai senario demensia dalam bola sepak dikaji dengan lebih teliti kerana ia kemungkinan melibatkan kesan trauma di kepala dan sokongan yang lebih besar perlu ditawarkan kepada bekas pemain bola sepak yang menderita penyakit itu.