JUVENTUS 3 YOUNG BOYS 0

Paulo Dybala mempamerkan aksi hebat tatkala Cristiano Ronaldo digantung perlawanan apabila menyumbat hatrik bagi membantu Juventus menundukkan Young Boys, yang beraksi dengan 10 pemain, 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Tatkala Ronaldo hanya menjadi penonton di Stadium Allianz susulan penggantungan satu perlawanan akibat layangan kad merah yang diterima ketika berdepan Valencia, Dybala membantu juara Serie A itu mencatat kemenangan kedua dalam saingan Kumpulah H.

Jaringan pertamanya hadir menerusi sepakan voli selepas menyambut hantaran jauh Leonardo Bonucci setelah bek tengah itu melambungkan bola melepasi Mohamed Ali Camara untuk penyerang itu melepaskan tendangan kaki kiri.

Gol kedua Dybala dicetus hasil daripada ketajaman menghidu peluang selepas dia menampan bola muntah hasil percubaan Blaise Matuidi yang gagal diselamatkan penjaga gol, David Von Ballmoos, dari dalam kotak penalti.

Dybala hampir mencatat hatrik lebih awal dalam babak pertama menerusi teknik penyudah hasil daripada bola umpanan Federico Bernardeschi tetapi tendangan kaki kanannya sekadar singgah ke tiang gol.

Bagaimanapun, jaringan ketiga peribadinya diraih pada minit ke-69 apabila dia menggunakan kesempatan terhadap pelawat yang tampak tertekan sebelum menyudahkan hantaran Juan Cuadrado dari sebelah kanan.

Selepas dibolosi tiga kali buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara, Young Boys terus dilanda malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Camara menerima layangan kad kuning kedua akibat kesalahan terhadap Dybala.