Fenomena Luqman Hakim Shamsudin dalam arena bola sepak negara hingga ke persada antarabangsa jelas menenggelamkan kelibat rakan graduan lain dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang lain.

Tidak kira Newcastle United, Bayer Leverkusen atau KV Kortrijk, destinasi Luqman dalam meneruskan kelangsungan karier jelas mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Namun, ketika tumpuan terlalu diberikan terhadap anak muda kelahiran Kelantan itu, kelibat rakannya tampak dipandang sepi tatkala kesukaran mereka ini sebagai graduan pertama NFDP menembusi skuad utama liga tempatan menjadi tanda tanya.

“Lebih ramai pemain seperti Luqman boleh dilahirkan. Selain proses di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), mereka juga dipantau oleh pemerhati luar. Jadi, kami cuma perlu tunggu mereka menamatkan tempoh di sana. Bukan sahaja Luqman tetapi ramai lagi pemain yang layak untuk diberi perhatian,” ujar pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully.