Pemain antarabangsa Argentina, Ezequiel Lavezzi, bakal mengambil tindakan ke atas wartawan yang mendakwa punca dia digugurkan daripada skuad Argentina bagi pertemuan dengan Colombia adalah akibat pengambilan ganja.

Lavezzi, yang kini beraksi dalam kancah Liga Super China bersama Hebei China Fortune, disenaraikan oleh Edgardo Bauza untuk aksi Kelayakan Piala Dunia menentang Brazil dan Colombia.

Dia tidak diturunkan dalam kekalahan 3-0 kepada Brazil sehingga mendorong wartawan, Gabriel Anello, mendakwa Lavezzi tidak akan berada dalam senarai pemain simpanan untuk pertemuan dengan Colombia pada pagi tadi kerana terbabit dengan isu tersebut.

"Lavezzi diketepikan daripada senarai pemain simpanan kerana menghisap ganja di kem? Saya sekadar bertanya... sekadar bertanya," demikian status yang dimuat naik Anello di laman sosial Twitter.

Tuduhan itu mengundang Lavezzi untuk bertindak balas dengan berjanji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan tersebut.

"Saya ingin menyatakan saya ingin mengambil tindakan undang-undang ke atas Gabriel Anello susulan tuduhannya terhadap saya secara peribadi yang mencalarkan maruah keluarga dan juga karier saya," menurutnya menerusi Twitter.

Sehubungan itu, para pemain Argentina mengambil keputusan memboikot sebarang media selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Colombia.