Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kini merupakan gelanggang tuan rumah buat skuad kebangsaan selepas mengambil kira dua sebab utama yang dirasakan mampu memberi kelebihan buat Malaysia.

Selain fasiliti yang sempurna untuk skuad negara, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, turut menegaskan pemilihan stadium tersebut berkait dengan dua sebab utama yang tidak dapat dinyatakan dengan jelas olehnya.

Pengumuman ini disokong dengan aksi pertama Malaysia dalam kelayakan Piala Asia bertemu Lubnan yang akan berlangsung di Larkin pada 13 Jun.

"Ada sebab mengapa Larkin menjadi pilihan tetapi saya tidak boleh mendedahkan perkara itu kepada media. Selain daripada kemudahan, faktor lain itu tidak boleh dihebahkan.

"Saya kira Larkin adalah salah satu tempat yang memiliki segala kemudahan yang terbaik," jelas Hamidin.

Bagaimanapun, kelibat Malaysia dalam kelayakan Piala Asia masih menjadi tanda tanya apabila nama ketua jurulatih belum dapat dipastikan.

Hamidin turut tidak menyangkal penolong jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, bakal memimpin skuad negara buat sementara waktu sebelum kemasukan ketua jurulatih dalam masa terdekat.

Cheng Hoe sendiri masih menunggu kata putus daripada Persatuan Bola Sepak Kedah sebelum memulakan tugasan baru di FAM.

Dalam perkembangan lain, walaupun Pyongyang memberi jaminan keselamatan kepada skuad negara untuk aksi kelayakan Piala Asia 8 Jun depan, FAM masih bimbang untuk melepaskan skuad Harimau Malaya ke Korea Utara.

FAM ketika ini mengharapkan sokongan pihak kementerian untuk beraksi di venue berkecuali dan bersedia untuk perlawanan timbal balik juga di venue berkecuali, November ini.

"Kita sepakat untuk tidak beraksi di Pyongyang. Bagaimanapun, keputusan untuk menentukan beraksi di padang berkecuali atau tidak adalah hak AFC," tambah Hamidin.