Aymeric Laporte berkata Manchester City akan turun dengan misi untuk membalas dendam apabila berdepan Lyon dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).

City mengalami kegagalan di tempat sendiri ketika menentang Lyon di peringkat kumpulan tetapi keputusan seri di Stadium Groupama, awal pagi esok, akan memastikan tempat mereka dalam pusingan seterusnya.

Lyon merupakan satu-satunya kelab yang mengalahkan City dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak April lalu, justeru Laporte mengakui kekalahan mereka pada September lalu masih berlegar di fikirannya.

"Selepas setiap kekalahan, kami mahu membalas dendam tetapi kami akan menentang salah sebuah pasukan terbesar di Eropah," Laporte memberitahu satu sidang akhbar.

"Apa yang akan kami lakukan ialah memberikan tumpuan kepada diri sendiri dan kami akan memberi tumpuan kepada permainan."

City berhasrat untuk ke final UCL buat julung kalinya dan Laporte mengakui kejayaan dalam kempen berkenaan adalah matlamat utama skuad asuhan Pep Guardiola itu.

"Ini jelas adalah objektif kami," kata pemain tengah itu. "Saya belajar hari demi hari dan saya mempunyai keyakinan terhadap Pep. Kami terus belajar daripadanya untuk mencapai matlamat kami.

"UCL adalah salah satu pertandingan terbesar, namun ia tidak akan mudah bagi kami kerana kami akan berdepan beberapa pasukan terbaik di dunia.

"Pep mahu kami memberi tumpuan kepada diri sendiri dan bekerja lebih keras serta mencapai lebih banyak kejayaan.

"Kami akan menentang salah sebuah pasukan yang paling sukar tetapi kami harus memberi tumpuan kepada diri sendiri dan melakukan yang terbaik," katanya.

Laporte masih belum diberi peluang dalam skuad Perancis, dengan jurulatih pemenang Piala Dunia, Didier Deschamps, sebaliknya memilih Adil Rami dan Mamadou Sakho dalam perlawanan antarabangsa terakhir.

Namun, pertahanan tersebut menafikan peluang untuk mempamerkan kemampuan di tanah air sendiri akan menjadi motivasi untuknya, awal pagi esok.

"Saya bermain di Manchester City," katanya. "Saya cuba memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.

"Objektifnya adalah untuk memberikan persembahan bermutu tinggi untuk Manchester City, hari ini, esok dan pada masa depan."

City akan beraksi tanpa kelibat Ilkay Gundogan, Gabriel Jesus dan Bernardo Silva akibat kecederaan.