Joan Laporta dan Victor Font antara empat calon yang bersedia untuk merebut jawatan presiden Barcelona, hujung bulan ini.

Semalam, Laporta, Font, Toni Freixa dan Emili Rousaud telah memenuhi syarat untuk bertanding dalam pilihan raya kelab itu pada 24 Januari depan.

Laporta, yang pernah bertindak sebagai presiden di antara tahun 2003 dan 2010, menyerahkan dokumen yang mengandungi sokongan daripada seramai 10.272 orang, jauh mendahului Font 4,713, Frexia 2,822 dan Rousand 2,510.

Pengesahan tandatangan itu akan bermula hari ini dengan pengesahan calon akhir bakal diumumkan dua hari lagi.

Jordi Farre, Xavier Vilajoana, Agusti Benedito, Luis Fernandez Ala dan Pere Riera pula gagal memenuhi syarat untuk mengumpul 2,257 tandatangan.

Dengan hanya menerima sokongan tipis, Rousand dijangka tercicir dalam senarai akhir.

Minggu lalu, gergasi LaLiga itu mengesahkan 24 Januari depan sebagai tarikh pemilihan presiden walaupun timbul tuntutan supaya ia ditangguhkan berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Wilayah Catalunya baru-baru ini mengenakan sekatan baru dalam usaha untuk mengekang pandemik itu dengan peraturan tertentu diperketatkan selama 10 hari mulai 7 Januari lalu.

Walaupun hal itu tidak mengganggu tarikh pilihan raya yang telah dipersetujui, desakan semakin berkumandang agar proses berkenaan ditangguhkan kerana beberapa anggota dikhuatiri tidak dapat ikut serta.

Begitupun, Barca mengesahkan bahawa 24 Januari adalah tarikh muktamad dan "semua cadangan prosedurnya" telah diterima oleh pihak berkuasa tempatan.