AJAX 0 CHELSEA 1

Frank Lampard percaya jaringan kemenangan Michy Batshuayi ketika Chelsea mengatasi Ajax 1-0 hadir atas kesabarannya sepanjang musim ini.


Penyerang Belgium itu meledak gol daripada hantaran Christian Pulisic ketika permainan berbaki empat minit di Arena Johan Cruijff untuk meraih tiga mata dalam saingan Kumpulan H, Liga Juara-Juara (UCL).

Batshuayi, yang menggantikan penyerang pilihan utama Lampard, Tammy Abraham yang gagal menampilkan aksi cemerlang, turut terlepas satu peluang keemasan sebelum gol kemenangannya itu.

"Walaupun Christian Pulisic yang mempamerkan aksi cemerlang sejak dua perlawanan lalu, mengubah rentak permainan, saya berasakan persembahan Batshuayi amat luar biasa," kata Lampard kepada BT Sport.

"Perkara yang menarik tentang barisan penyerang saya adalah, walaupun Tammy menjaringkan gol, dua penyerang lain kekal bersabar, bekerja keras, memberikan sokongan kepada pasukan dan memiliki bakat yang tersendiri.

"Jadi, saya menurunkan Batshuayi pada masa yang tepat dan dia berhak untuk membuktikan kemampuannya dalam perlawanan ini."

Chelsea telah memenangi dua perlawanan UCL di tempat lawan buat kali pertama sejak 2013 dan berkongsi mata dengan Ajax selepas tiga perlawanan.

The Blues berjaya melepaskan diri apabila dua percubaan daripada Ajax menerusi Quincy Promes dan Edson Alvarez gagal disempurnakan.

"Saya percaya tuah menyebelahi kami, namun kami harus sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang situasi."

Batshuayi meluahkan kegembiraan apabila hasil jaringannya berjaya memastikan pasukan memenangi perlawanan serta mahu mengekalkan tumpuan untuk menampilkan permainan yang lebih bermutu.

"Saya berasakan kami sepasukan telah berusaha sebaik mungkin. Ia adalah kemenangan penting dan tiga mata berharga," katanya. "Saya menyedari telah menjaringkan gol kemenangan tetapi perkara paling penting adalah tiga mata yang diraih."