Real Madrid mungkin akan kehilangan Marcelo sehingga penghujung LaLiga musim ini selepas pemain itu mengalami kecederaan otot.

Pertahanan kiri berpengalaman itu mengalami kecederaan berkenaan ketika menewaskan Athletic Bilbao 1-0 minggu lalu, di mana Marcelo memenangi sepakan penalti yang memberikan gol kemenangan itu.

Pasukan pendahulu itu mengumumkan sebelum perlawanan menentang Deportivo Alaves awal pagi tadi -- yang dimenangi Madrid 2-0 -- bahawa Marcelo mengalami kecederaan otot adductor sebelah kiri.

Kelab itu tidak menetapkan tempoh pemulihan bagi kecederaan itu tetapi laporan media mendakwa Marcelo tidak akan beraksi dalam tiga perlawanan musim ini menentang Granada, Villarreal dan Leganes.

Bagaimanapun, dia mungkin sudah kembali cergas apabila menghadapi Manchester City dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah pada 7 Ogos depan.