Kapten Bayern Munich, Philipp Lahm, yakin Thomas Muller akan mendapatkan kembali prestasi asalnya dan menamatkan kemarau jaringan dalam Bundesliga.

Muller menjaringkan 20 gol dalam 31 perlawanan liga pada musim lalu tetapi masih menantikan gol pertamanya dalam lapan perlawanan liga musim ini walaupun telah menjaringakn gol ketika aksi DFL-Supercup dan Liga Juara-Juara Eropah.

Lahm melihat tiada sebab untuk berasa bimbang dan dia tiada keraguan yang Muller akan mula menjaringkan gol dalam masa terdekat.

"Saya telah menjaringkan gol yang lebih daripada dia selepas 10 perlawanan," kata Lahm kepada Sky.

"Saya ada mengusiknya beberapa kali mengenai perkara tersebut.

"Tetapi dengan kualiti yang dimiliki Muller, dia hanya menunggu masa untuk menjaringkan gol semula."

Lahm sebelum ini bercadang untuk bersara pada hujung musim, namun dia menekankan masih lagi belum membuat sebarang keputusan muktamad dan menegaskan sedang menikmati musim ini.

"Anda sentiasa perlu bertanya kepada diri anda sama ada anda masih boleh berada di peringkat tertinggi atau tidak," katanya.

"Dan kami tidak bercakap mengenainya setiap tahun atau bulan tetapi minggu. Bagaimanapun, saya sedang menikmati musim ini."