Kelab dari Indonesia, Kwarta FC, muncul juara Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Sembilan Sebelah 2016 buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan wakil Kemboja, HTC, 4-1 dalam pentas final di Kompleks Sukan Kampung Pandan, hari ini.

Dalam kejohanan edisi kali ke-14 ini, Kwarta yang diwakili sebahagian besar bekas pemain kebangsaan dan kelab Indonesia nyata terlalu unggul buat HTC.

Mendahului 3-0 dalam separuh pertama, Kwarta berjaya mempertahan rentak pada separuh masa kedua biarpun membuka ruang kepada HTC meraih jaringan sagu hati pada lewat permainan.

"Kami berasa sangat gembira kerana menjuarai kejohanan ini sebanyak tiga kali dan mempertahankan kejuaraan," kata ketua pasukan Kwarta, Iwan Karo.

Sementara itu, pengerusi penganjur kejohanan, Andrew Gopal, mencadangkan untuk memperluaskan penyertaan kepada 16 pasukan pada edisi tahun depan.

"Dalam kejohanan tahun ini, kami menerima penyertaan kelab dari Kemboja. Jadi, pada tahun depan kami mengharapkan penyertaan dari Australia dan juga Thailand," katanya.

Kejohanan itu dianjurkan Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC).