Pemain muda yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal, menjalani latihan pertama bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, hari ini.

Kuzri akhirnya buat kemunculan kali pertama bersama skuad B-19 negara hari ini, selepas 14 hari melewati proses kuarantin.

"Sememangnya saya sudah lama menunggu saat ini untuk beraksi bersama skuad B-19 negara dan akhirnya saya berpeluang untuk membuktikan kemampuan saya bagi menempatkan diri dalam skuad negara," kata Kuzri ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Ditanyakan mengenai peluang untuk mewakili Amerika Syarikat (AS), "Saya sentiasa berbangga untuk mewakili AS ataupun Malaysia."

Mengenai skuad kendalian Brad Maloney, Kuzri menyatakan, "Saya masih lagi mencari keserasian dalam pasukan ini, saya akan bersifat terbuka untuk menyesuaikan diri dalam pasukan.

"Bola sepak adalah permainan bersifat universal, saya akan cuba beraksi mengikut pendekatan yang telah ditetapkan pengendali pasukan."

Kuzri menjelaskan corak permainan yang bersifat fizikal di AS akan diterapkan bersama skuad negara bagi sekaligus meningkatkan lagi mutu permainan pasukan

"Permainan yang bersifat fizikal sangat diketengahkan di sana, saya akan menggunakan pengalaman beraksi di sana bersama skuad B-19 negara.

"Sejujurnya saya tidak memikirkan mengenai jangkaan yang telah diharapkan, saya akan berusaha untuk bermain dengan baik. Saya berasakan permainan saya agak kreatif dan akan menerapkannya ke dalam pasukan ini."

Kuzri dan skuad kendalian Maloney kini dalam persiapan untuk menghadapi saingan Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.