Kapten Bengaluru FC, Sunil Chhetri, menyatakan bahawa tiada apa-apa kelebihan buat pasukannya meskipun tanpa kehadiran penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Juan Martin Lucero dan Pereyra Diaz, dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala AFC 2016.

Kedua-dua penyerang dari Argentina itu, yang juga antara lima penjaring terbanyak dalam kejohanan yang sedang berlangsung, digantung untuk perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sree Kanteerava, Bengaluru, India, malam esok.

Bengaluru telah mengikat JDT dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Larkin.

Pereyra membuka jaringan buat JDT dalam perlawanan pertama, diikuti Eugeneson Lyngdoh menjaringkan gol penyamaan untuk juara Liga-I itu.

Penjaga gol pasukan pelawat, Amrinder Singh, bersama-sama dengan barisan belakang yang diterajui John Johnson telah memainkan peranan penting dalam menghalang juara bertahan Piala AFC itu daripada terus berusaha merobek gawang mereka.

Dalam laporan laman berita di India, scroll.in, semalam, Chhetri menegaskan bahawa mereka tidak akan memberi tumpuan kepada kekurangan pasukan lawan dan kelebihan jaringan gol di tempat lawan bukan faktor penting untuk menang kerana masih ada 90 minit menanti mereka.

Pemain antarabangsa India itu, yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman di negaranya dengan 51 gol, menambah bahawa perlawanan separuh akhir esok adalah perlawanan terbesar dalam kerjaya kelabnya.

"Adalah kurang bijak jika memikirkan bahawa JDT adalah hanya mengenai dua penyerang import mereka. Mereka mempunyai beberapa kualiti penting dan saya mengatakan ini berdasarkan daripada pengalaman bermain menentang mereka sebanyak empat kali," kata Chhetri, seperti dipetik daripada laporan itu, yang dimuatkan di ruangan The Field.

"Satu-satunya kelebihan yang kami ada adalah gol di tempat lawan. Masih ada 90 minit lagi perlawanan dan anda tidak boleh memberitahu apa yang akan berlaku."

"Ya, ia adalah permainan yang terbesar dalam kerjaya kelab saya. Ini adalah peluang buat kami di mana belum ada lagi kelab dari India yang telah sampai ke tahap ini.

"Saya tidak pernah berada dalam situasi seperti ini. Kami akan meletakkan nama negara ini di peta Asia dan ia adalah satu perkara yang amat penting."

Sejak ditubuhkan pada tahun 2013, Bengaluru FC telah mencapai kejayaan besar dengan memenangi gelaran Liga-I dua kali (2013/14, 2015/16). Mereka turut mara ke peringkat 16 Piala AFC dalam penampilan sulung pada 2015 sebelum memperbaiki rekod mereka untuk tahun ini.

Walaupun transformasi pantas pasukan dari pasukan kerdil Liga-I kepada pasukan gergasi, Chhetri tidak memikirkan terlalu banyak tentang saingan Liga Juara-Juara Asia, persaingan pasukan teratas di peringkat Asia.

Dia menegaskan bahawa tumpuan Blues adalah untuk mendominasi Piala AFC. Penyerang Bengaluru itu berkata mereka tidak sama sekali memikirkan tentang menang atau tewas tetapi akan menggunakan peluang sebaik mungkin dalam perlawanan esok.

"Berfikir seoptimis yang boleh, ia akan mengambil sedikit masa sebelum kami mula menjadi sebuah kuasa yang berpengaruh dalam Liga Juara-Juara Asia. Kualiti yang diperlukan dalam pasukan adalah sangat-sangat tinggi," kata pemain berusia 32 tahun itu.

"Tetapi sebelum kami dapat bercakap tentang Liga Juara-Juara dan aspirasi di sana, kami perlu bermula dengan menguasai Piala AFC.

"Jika perlawanan ini [separuh akhir kedua] berakhir dengan kekalahan, kami tidak akan kecewa. Tetapi kami tidak mahu memikirkan mengenai kekalahan.

"Kami telah mendapatkan peluang yang cukup baik untuk maju dan kami perlu beraksi pada 19 Oktober dan merebut separuh lagi peluang itu dan menjadikannya milik kami. "

Dalam pada itu, jurulatih JDT, Mario Gomez, berkata bahawa ikhtiar mencari pengganti dua penyerang utama itu agak "memeningkan".

Skuad Harimau Selatan terpaksa bergantung kepada bekas pemain antarabangsa Malaysia, Safiq Rahim, untuk memastikan mereka terus menghampiri sasaran mempertahankan kejuaraan.

Gambar: scroll.in