Ilkay Gundogan dan Jonathan Tah menyertai senarai kecederaan panjang skuad Jerman menjelang perlawanan persahabatan dengan Argentina.

Die Mannschaft akan bertemu La Albiceleste di Dortmund awal pagi esok persis perlawanan final Piala Dunia 2014.

Toni Kroos, Leroy Sane, Antonio Rudiger, Timo Werner, Leon Goretzka dan Matthias Ginter, kesemuanya tidak dapat diturunkan dan ketua jurulatih, Joachim Low, mendedahkan pemain tengah Manchester City, Gundogan, dan pertahanan Bayer Leverkusen, Tah, turut terpinggir.

Tah mengalami masalah kesihatan manakala Gundogan masih bergelut dengan masalah otot walaupun dia mungkin dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Estonia dalam pusingan kelayakan Euro 2020 awal pagi Isnin ini.

Marco Reus pula mengalami kecederaan ringan di lututnya dengan Robin Koch dan Sebastian Rudy dipanggil semula selepas digugurkan sebelum ini.

"Anda perlu membiasakan diri dengan perkara ini, ia bukan situasi yang saya mahukan," kata Low.

"Ia bukan situasi yang ideal. Amat jarang untuk melihat ramai pemain tidak dapat beraksi seperti ini.

"Ia situasi yang tegang dan bukan sesuatu yang menggembirakan.

"Amat sukar untuk mengharapkan sesuatu yang besar daripada pasukan ini.

"Namun, pasukan ini akan bersatu dan serius kerana Argentina adalah lawan yang sukar," katanya.

Mengenai Reus, Low menambah: "Kami perlu menunggu. Dia akan kembali berlatih petang ini dan kami akan melihat sama ada wajar atau tidak untuk menggunakannya."