Pengurus Bayern Munich, Niko Kovac, gembira untuk berdepan jurulatih hebat Liverpool, Jurgen Klopp, selepas kedua-dua pasukan diundi bertemu dalam perlawanan pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah.

Kedua-dua pasukan akan melakukan perhitungan pertama di Anfield pada 19 Februari depan sebelum aksi timbal balik di Jerman berlangsung pada 13 Mac.

Kovac kini masih berusaha mendapatkan sentuhan terbaik buat Bayern selepas mengalami permulaan suram dalam saingan Bundesliga musim ini, namun mencabar anak buahnya mengatasi cabaran pendahulu Liga Perdana Inggeris itu dan melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Walaupun hanya menduduki tangga kedua Kumpulan C, Liverpool menyinar di peringkat domestik dan Klopp menikmati rekod cemerlang ketika berdepan Bayern sewaktu mengendalikan Borussia Dortmund.

"Ia adalah undian hebat di peringkat tertinggi," kata Kovac.

"Mereka memiliki pasukan dan pengurus bagus. Liverpool tewas di pentas final musim lalu dan bagi saya, ini adalah aksi separuh akhir.

"Saya tidak sabar untuk menuju ke Anfield. Beraksi di laman sendiri dalam aksi kedua hanyalah kelebihan kecil. Peluang masih sama rata tetapi dalam tempoh dua bulan, apa sahaja boleh berlaku.

"Lihat nanti apa yang terjadi. Kami mahu berentap dengan pasukan terbaik."

Sementara itu, Presiden Bayern, Uli Hoeness, telah dilantik semula untuk tempoh empat tahun selaku pengerusi lembaga penyeliaan kelab ketika mesyuarat agung tahunan kelmarin.

Kovac mengalu-alukan perkembangan itu bagi mengekalkan kestabilan dalam pasukan.

"Hoeness adalah Bayern. Dia sentiasa menjadi pejuang dan kelab memerlukannya lebih daripada sebelum ini," tambah pengurus dari Croatia itu.

"Dia mahu meneruskan tempoh empat tahun bagi membuktikan rasa cinta buat kelab."

Bayern kini sembilan mata di belakang pendahulu Bundesliga, Dortmund, dan bakal melayan kunjungan pasukan tangga keempat, RB Leipzig, awal pagi esok.