Pengurus Bayern Munich, Niko Kovac, bersetuju dengan penilaian presiden kelab itu, Uli Hoeness, mengenai prestasi benteng mereka baru-baru ini.

Selepas dikejutkan seri 3-3 ketika berdepan pasukan bergelut, Fortuna Dusseldorf, tempoh hari, Hoeness kurang senang dengan pertahanan Bayern.

Bahkan, beliau melabel pertahanan Bayern sebagai bahan lawak dan berasa bagaikan melihat sebuah filem "pelik dan jelik".

Keputusan itu menyaksikan mereka kini menduduki tangga kelima Bundesliga di samping ketinggalan sembilan mata dengan Borussia Dortmund, namun Hoeness menegaskan jawatan Kovac tidak terancam.

Kovac dan Bayern akan mengalihkan perhatian mereka kepada Benfica dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok, sambil pengurus berkenaan mengakui prestasi pertahanan mereka tidak memberangsangkan.

"Ia benar," kata Kovac dalam sidang berita sebelum perlawanan, semalam. "Kami mengakui melepaskan gol yang tidak sepatutnya.

"Saya berasa kasihan dengan Manuel (Neuer) dalam kebanyakan masa. Penyerang adalah bahagian yang paling sukar dalam bola sepak, sebaliknya pertahanan agak mudah.

"Sudah tentu, anda (boleh) tersilap tafsir mengenai situasi ini, tetapi banyak kesilapan tidak seharusnya berlaku. Jadi, saya bersetuju dengan pendapat Uli Hoeness," katanya.

Kovac, yang berada di bawah tekanan yang semakin meningkat di Bayern, tidak akan menyerah kalah dalam perjuangan musim ini.

"Mereka yang mengenali saya tahu saya sentiasa berjuang," katanya.

"Sepanjang hidup, saya terpaksa bertarung. Ayat 'menyerah kalah', 'menaikkan bendera putih' tidak wujud dalam perbendaharaan kata saya.

"Kritikan sentiasa ada jika anda tidak memenuhi tuntutan tinggi semula jadi kelab ini. Kami hanya memerlukan satu mata (untuk mencapai pusingan 16), tetapi kami mahu menang."